Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan juga yakin ladang itu dapat melahirkan ramai individu atau usahawan dalam bidang ternakan kerana ia akan dibangunkan sebagai sebuah daripada pusat kecemerlangan untuk usahawan muda.

“Menjadi harapan saya, keseluruhan kawasan di Hulu Terengganu akan dapat membangunkan satu ekosistem yang lengkap, bukan sahaja sebagai pusat ternakan haiwan, tetapi juga orang ramai akan mengambil bahagian dalam industri itu.

“Ini termasuk menyediakan makanan lembu dan kemudian diba­ngunkan pusat-pusat memproses susu lembu yang perlu menyediakan sistem pembungkusan, penghantaran dan sistem penyejukan yang baik, dan memberi manfaat kepada seluruh daerah itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat Ladang Satelit Nasional di Pusat Ternak Haiwan Tersat.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Nawi Mohamad.

Ahmad Shabery berkata, Ladang Satelit Nasional itu dengan keluasan lebih 2,000 hektar mempunyai kira-kira 2,000 ekor lembu sepanjang masa, sekaligus dapat membantu penternak di seluruh negara.
Katanya, terdapat juga projek lain di kawasan itu seperti Pusat Satelit Fidlot yang dikendalikan beberapa pihak, serta pusat ternakan kambing serta kambing biri-biri.

“Di sini merupakan sebuah kawasan cukup luas dan sepatutnya menjadi model yang boleh diguna pakai di negara kita sekarang,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, dengan adanya ladang seumpama itu dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging dan susu import.

Mengenai makanan ternakan di kawasan itu, beliau berkata, terdapat sejenis rumput napier iaitu makanan semula jadi, tanpa menggunakan makanan khas yang diimport dan ia akan menjimatkan kos.

“Saya meminta Jabatan Veterinar meneliti untuk menjadikan tanaman rumput napier secara besar-besaran, dan kita juga menggalakkan penduduk tempatan yang mempunyai tanah untuk turut menanam rumput itu kerana dikatakan sangat sesuai sebagai makanan ternakan,” kata­nya.– BERNAMA

Beliau berkata, projek itu jika dilaksanakan dengan baik akan dapat membantu membangunkan ekosistem bukan sahaja untuk menyediakan makanan, malah jumlah haiwan yang ada di kawasan ber­kenaan turut bertambah. – BERNAMA